OPERASI PENANGKAPAN HAIWAN MERAYAU DAN KAWALAN RABIES MEI 2025
Sepanjang bulan Mei 2025, Majlis Daerah Machang melalui Bahagian Penguatkuasaan akan melaksanakan Operasi Penangkapan Haiwan Merayau dan Kawalan Rabies di seluruh kawasan pentadbiran Majlis. Pelaksanaan operasi ini bertujuan memastikan keselamatan awam, mengawal penularan penyakit berjangkit seperti rabies, serta memelihara kebersihan dan ketenteraman awam.
Kadar kompaun yang dikenakan adalah sebanyak RM1,000.00 bagi setiap haiwan ternakan atau peliharaan yang ditangkap, dengan caj penyimpanan sebanyak RM100.00 sehari.
Pihak Majlis tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kecederaan, kecacatan, atau kematian haiwan yang berlaku semasa operasi penguatkuasaan dijalankan. Sekiranya tiada tuntutan dibuat dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh tangkapan, Majlis berhak untuk melupuskan haiwan tersebut mengikut peruntukan di bawah Undang-Undang Kecil Haiwan Merayau.
Majlis menyeru semua pemilik haiwan ternakan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menjaga dan mengawal haiwan peliharaan masing-masing. Keselamatan dan kesejahteraan awam adalah tanggungjawab bersama yang perlu dipikul demi keharmonian komuniti.